Mahasisawa minta mansuh AUKU
Perhimpunan anjuran Gabungan Mahasiswa Mansuhkan AUKU, disertai 13 perkumpulan mahasiswa, bermula kira-kira jam 9 pagi dalam cuaca lembab di depan Parlimen hari ini.
Mereka yang berpakaian serba hitam berkumpul bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang mengusulkan pindaan akta kontroversi tersebut minggu ini.
Selain mengusungkan "mayat simbolik", mereka juga berbaring selama beberapa minit di atas jalan depan pintu masuk Parlimen dengan kain rentang hitam bertulisan "Akta Untuk Kuburkan Universiti" sebagai akronim lain AUKU.
Sementara beberapa orang lagi membawa kotak yang menggambarkan penjara - sambil diperhatikan oleh kira-kira 20 anggota polis pencegah rusuhan yang mengawal keadaan di perhimpunan itu.
Rang undang-undang pindaan AUKU dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat minggu ini.
Beberapa bahagian pindaan yang dijangka panas termasuklah Seksyen 15 (hak mahasiswa berpersatuan), Seksyen 9 (kuasa menteri melantik ketua kampus cawangan) dan Seksyen 12 (hak menteri meminda, mengubah, atau membetulkan sesuatu perintah kampus).
Dalam seksyen baru 4(a) dan 4(b) pula, dijangka berlaku perdebatan hangat berkenaan jawatankuasa menasihati menteri bagi melantik naib canselor yang menyebut "menteri dari masa ke semasa hendaklah melantik satu jawatankuasa untuk menasihatinya mengenai perlantikan itu".
Memorandum Gabungan tersebut telah diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen dan pegawai-pegawai dan orang ramai yang melalui jalan ke Parlimen tersebut.
0 comments:
Post a Comment